Sunday, August 5, 2007

Ustaz Aqill Hayy Rawa Melancarkan album baru


Setelah membeli Nasyid Legenda pertengahan tahun lepas, saya cuba mendapatkan pula Di Bawah Satu Cahaya. Nampaknya album kedua Ustaz Akhil Hayy ini lebih enak untuk dinikmati dan dihayati. Pengalaman yang didapati dalam pembikinan album nasyid sulungnya dulu barangkali menambah kekuatan album ini dan saya sebagai pendengar terasa lebih selesa menikmati.
Konsep lagu dan muzik dalam album ini juga jauh berbeza dengan yang sebelumnya. Selain lagu Arab berjudul Farsyi Turab yang meremangkan bulu roma, lagu-lagu nasyid seperti Ku Takkan Berpaling, Nawaitu dan Berita kepada Kawan (lagu asal duet Ebiet G Ade & M.Nasir) menjadi pilihan saya. Dalam lagu Nawaitu sesekali kedengaran vokal Ustaz Akhil iras-iras Zamani Slam, tetapi ternyata suara bekas vokalis kumpulan rock D'Riyadh ini lebih nyaring, memikat dan bertenaga. Tidak lupa, album ini turut menyelitkan lagu Tolonglah Kami (lagu anak-anak yatim dalam filem Tiga Abdul) ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Tentu ramai yang dah dengar lagu Farsyi Turab yang dinyanyikan semula oleh Ustaz Akil Hayy. Saya fikir penyampaian Akhil Hayy dalam lagu ini lebih berjaya berbanding penyanyi asalnya baik dari segi penghayatan mahupun vokal.
Di sini ada link untuk melihat klip video lagu asalnya yang disampaikan oleh Meshary AlArada. Sangat baik sebagai tazkirah kepada kita!